0379676504/5 juris_eksternal@um.edu.my

Pengenalan

Home / Tentang Kami / Pengenalan

Ijazah Sarjana Muda Jurisprudens [B. Juris] adalah suatu ijazah akademik dan tidak termasuk pengajian kursus prosedur dan amali. Ijazah ini diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia sebagai melayakkan pemegang ijazah untuk mengambil Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP).

Pemegang ijazah ini yang ingin memasuki profesion undang-undang hendaklah mematuhi keperluan tambahan yang ditetapkan oleh Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang mengikut Akta Profesion Undang-Undang 1976, dan mereka dinasihatkan berhubung dengan Setiausaha, Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang, Lot. No. 22-01, Aras 22, Menara 2, Menara Kembar Bank Rakyat, No. 33, Jalan Rakyat, 50470 Kuala Lumpur. 

Peperiksaan untuk ijazah ini akan diadakan sekali setiap tahun di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Pelajar boleh menjawab kertas soalan peperiksaan sama ada dalam Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris.

Seorang pelajar dianggap telah mendaftar untuk Ijazah B. Juris apabila beliau telah memenuhi semua keperluan, walau apapun bentuknya, yang ditetapkan oleh Universiti, dan sebagai tambahan, telah membayar yuran atau yuran-yuran yang ditetapkan.

Pelajar program ijazah Sarjana Muda Jurisprudens dikehendaki membuat persiapan sendiri untuk pembelajaran dan tuisyen. Mereka dikehendaki membuat persiapan sepenuhnya untuk peperiksaan dengan pengajian persendirian. Pelajar program ijazah Sarjana Muda Jurisprudens tidak dibenarkan menghadiri kuliah, seminar dan tutorial yang diadakan untuk pelajar dalaman di Universiti Malaya.

Pelajar program ijazah Sarjana Muda Jurisprudens dibenarkan mengguna Perpustakaan Undang-Undang Universiti Malaya untuk mendapatkan maklumat serta kemudahan yang disediakan di perpustakaan setelah membayar yuran perpustakaan.

Last Updated: 11/02/2020